6 Aug 2013

Suatu Kehilangan





Di suatu malam yang hening, Ilman bersendirian. Sepi. Sunyi. Tanpa kata.


'Apalah nasibku di dunia ni. Aku sudah buntu. Hilang arah tuju!'


Malam itu, dia duduk bersendirian di taman permainan yang sering dibawa oleh ibunya ketika dia kecil-kecil dahulu. Tempat ini membawa seribu makna bagi dirinya, kerana di sinilah tempat menyimpan seribu kenangan dirinya bersama sang ibunda tercinta.

Kini, semuanya sudah tidak wujud lagi. Ibunya sudah pergi meninggalkannya sendirian, tanpa teman.  Baru-baru ini, ibunya terlibat dengan suatu kemalangan yang meragut nyawanya ketika dia keluar membeli juadah berbuka puasa buat anaknya yang tercinta.

Ilman terpaksa menerima hakikat itu. Dia mengeluh panjang.


'Apalah lagi ujian Tuhan padaku ini. Aku pasrah, ya Allah!'


Ilman mengeluh panjang. Dia mula merasai ketiadaan insan yang paling disayanginya itu. Insan yang membesarkannya sehingga menjadi dewasa. Insan yang memberikannya segala-segalanya yang dia perlukan untuk menjadi makhluk yang bergelar manusia. Insan yang satu-satunya sering memberikan harapan baru kedalam dirinya.

Dia pasrah dan hanya air mata mengalir di celah-celah pipinya.

Dia tinggal bersendirian akibat ketiadaan ibunya di sisi. Ayahnya juga pergi meninggalkan Ilman ketika dia masih berusia 7 tahun lagi akibat barah otak. Dan sekarang, Ilman perlu meniti arus kehidupannya seorang diri. Dia berusaha. Namun, kegelapan itu sering difikirkannya.


'Macamana nak hidup kalau seorang diri? Aku tidak mempunyai siapa-siapa untuk bergantung harap.'


Ilman berkata-kata dengan dirinya yang malang itu.


Malam itu dirasakan serba kurang baginya, kerana terpaksa menelan pahit itu seorang diri. Dia mula untuk beredar dari tempat penuh memori itu. Seorang diri.


...................................


'Kringggg! Kringggggg! Kringgg!'

Kedengaran jam locengnya berbunyi dikala waktu menunjukkan jam 5 pagi. Ilman mula membuka matanya secara perlahan. Dia berharap agar sinar baru akan menelobosi dirinya di hari yang baru.

Namun, apa yang dilihat hanyalah kegelapan serta kesuraman yang menyelubungi dirinya. Dia buntu sekali lagi. Ilman bingkas bangun untuk bersahur.

Setelah selesai meminum segelas air kosong, Ilman tidak berselera untuk meneruskan sahurnya. Dicapai kopiah putih miliknya, terus berlalu ke masjid yang tidak jauh dari rumahnya itu.

Ketika dia sedang berjalan, bermacam-macam jenis andaian bermain di benak fikirannya. Dia hampir putus harapan memikirkan apa yang bakal berlaku terhadap dirinya itu.

Setelah sahaja sampai di masjid, dia terus mengambil wudhuk. Air yang mengalir di setiap pelusuk anggota badannya itu tersa begitu segar dan sejuk, membangkitkan urat-uratnya yang lemah itu. Terasa begitu segar, seolah-olah ada sinar baru yang muncul di dalam dirinya.

Seusai qiyam, Ilman terus mencapai buku kegemerannya. Dibelek satu persatu muka-muka yang telah mula kelihatan pudar itu. Dia berasa begitu lemah, tidak bersemangat seperti sedia kala. Tilawahnya berterabur sehari dua ini.

Tiba-tiba, dua matanya tertumpu pada satu baris ayat ini. Dia mula fokus. Dibaca dan ditelitinya satu-persatu.


...Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
(2:216)


Ilman memejamkan matanya. Mengalir air matanya. Bergetar tubuh badannya.



No comments:

Post a Comment